Saturday, 15 October 2016

Apabila Seorang Isteri Diam, Bukan Tanda Semuanya Baik Dan Ok

Apabila Seorang Isteri Diam, Bukan Tanda Semuanya Baik Dan Ok

Kebiasaannya, tugas-tugas mengemas rumah dan menjaga anak seringkali diserahkan kepada isteri sepenuhnya. Berapa ramai suami yang membantu isteri melakukan kedua-dua perkara itu apabila balik dari kerja? Lebih memenatkan lagi bila isteri yang juga bekerjaya terpaksa melakukan kesemua itu seorang diri. 

Tertekan di tempat kerja, ditambah pula dengan tekanan di rumah boleh menyebabkan mood isteri menjadi negatif. Namun kebanyakkan isteri mengambil langkah untuk mendiamkan diri dan nampak seperti okay sahaja melakukan semua kerja itu kerana tidak mahu bertengkar dengan suami. 

Sebagai suami, sepatutnya cuba mencari jalan meringankan bebanan isteri walaupun isteri hanya sekadar surirumah. Jadi surirumah sepenuh masa pun penat, lebih-lebih lagi ada anak ramai. 

Jadi, bagaimana caranya untuk meringankan bebanan mereka? Ikuti nasihat dari Puan Nurul Ilyani di bawah.



Hari ini saya mahu cerita. Mungkin suara segelintir isteri, mungkin juga bukan suara semua. Dulu, apabila saya penat, semua saya cerita dengan suami. Saya membebel dan bercakap pasal semua penat saya. Membebel ya, bukan meluahkan. Meluahkan, sangat positif. Membebel, negatif. Baca terus hingga perenggan akhir nanti.

Apabila saya mula mendidik anak sepenuh masa, saya pula belajar komunikasi teknik Nabi saw dalam parenting. Saya jadi bercakap perkara-perkara yang penting dan bagus saja, walaupun hari itu saya lalui dengan teruk sekali. Ia bagus agar minda saya kekal positif. Apabila saya asyik merungut dan menyebut-nyebut perkara negatif, saya akan jadi lebih negatif.

Suami, isteri kalau yang pandai mengawal emosi, mereka banyak diam. Mereka telan dan selesaikan. Semua masalah hiruk pikuk di rumah, semua diselesai sendiri. Daripada tak dapat makan dengan tertib, mandi dan urus diri dengan sempurna, semua dia diam. Diam dia bukan dia OK dengan semua ini. Diam dia kerana dia mahu kekal POSITIF menjalankan tugas dia sebagai isteri dan ibu.

BERI 'GANJARAN' KEPADA ISTERI

Suami, tak banyak pun perlu buat. Apabila balik kerja, beli makanan kegemaran dia. Hari-hari pun tak apa. Suami saya selalu beli nescafe ais ikat tepi kegemaran saya walaupun kadang-kadang lupa. Suami kata tak elok, tetapi saya teringin juga. Air sejuk itu buat saya gembira dan kurang penat. Kalau isteri gemar makan mahal-mahal dan kalau hari-hari beli pokai juga. Beli hadiah kecil-kecil yang comel. Di kedai Hinode pun banyak.

BANTU ISTERI URUSKAN ANAK-ANAK

Suami apabila balik kerja, nampak isteri sibuk kalut, terus ambil anak-anak. Suruh isteri masuk bilik rehat 30 minit, biar urus diri atau kalau anak-anak sudah besar, bawa keluar jalan-jalan. Sekurang-kurangnya dapat isteri tadi bersosial dengan WhatsApp group kawan-kawan solehah dia atau buat posting ilmiah di Facebook. Itu sebagai 'booster' untuk tenaga dia sampai keesokan hari.

PUJI ISTERI SEKALI-SEKALA

Suami apabila balik, tak banyak, sekali puji dan ucap terima kasih. Ya Allah, isteri, sekali tuan-tuan cakap,

"Terima kasih jaga anak-anak, sayang memang isteri dan ibu yang bagus."

Percayalah walaupun dia macam malu-malu kucing, dalam hati dia macam ada gendang yang dipalu-palu. Gitu.

Suami, apabila malam sudah tenang-tenang, tanya soalan, 

"Hari ini sayang okay? Sayang buat apa?"

Walaupun tuan-tuan tahu hari-hari buat benda sama. Ya Allah tak tahu kata apa, isteri walaupun dia jawab nak tak nak tapi dia suka. Kalau dia stress masa ini, dia luah semua. Ini baru komunikasi positif. Sebenarnya, isteri mahu rasa diberi perhatian, rasa diambil tahu. Dia bukan minta rumah 10 buah, emas 1 tempayan tetapi dia mahu perhatian, secure dan sayang.

Barulah jadi suami isteri positif, mendidik anak-anak positif, lahir keluarga positif. Apa-apa kita jumpa di Bangi nanti. Kita story banyak lagi. - Ummu Ilham | The Reporter

Friday, 14 October 2016

9 Tahun Mohon Lesen Berniaga Tak Pernah Dapat, Mungkin Sebab Bukan Anak Dara - Zulkifli

9 Tahun Mohon Lesen Berniaga Tak Pernah Dapat, Mungkin Sebab Bukan Anak Dara - Zulkifli


SHAH ALAM - Susulan viralnya gerai niaga seorang peniaga kuih di mana beberapa barangan mereka seperti tong gas dan payung dirampas oleh anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pemiliknya tampil menceritakan keadaan sebenar. 

"Apa nak dikata, hanya Allah yang tahu. Apa pun terima kasih MBSA. Duduk di negara asing beginilah dugaan nak hidup. Hari ini mungkin hari kau (MBSA), esok-esok hari aku pula. Semoga mereka mendapat balasan yang setimpal," katanya Zulkifli Ardani Joidani

Sebelum itu, Redza Ali Madan memuat naik kisah gerai Zulkifli didatangi anggota MBSB yang merampas beberapa peralatan niaga mereka, di laman Facebook. Malah, Redza juga dimaklumkan bahawa Zulkifli pernah memohon lesen dalam tempoh 9 tahun, namun tidak pernah diluluskan.

Ekoran tong gas dirampas oleh MBSA dalam jam 4 petang, Khamis, Zulkifli yang berniaga di Seksyen 7 itu terpaksa meminjam tong gas di sebuah kedai berhampiran untuk menghabiskan jualannya yang tertangguh sehingga jam 7 petang. 

"Kami jaga kebersihan, tak pernah tinggal barang apa pun, semua bawa balik. Kami jaga kebersihan tempat berniaga. Malah, tempat niaga kami ini kalau pelanggan datang nak beli dan parking kereta pun selamat. 

"Kami dah berniaga 9 tahun, bukan kaya pun. Sekadar cukup makan, bayar sewa rumah dan belanja sekolah anak-anak saja. Bumi ini milik Allah, kita kongsi bersama-sama," katanya. 

Zulkifli pada awalnya berniaga air dua balang sahaja. Bila ada modal, mereka berkemampuan membeli payung 10 x 10 dan kaki meja, untuk berniaga kuih. Bila ada keuntungan lebih, mereka beli dapur niaga untuk juga pisang goreng.  

"Kami bermula dari bawah, bermodalkan RM100. Kami bukan berasal dari keluarga yang senang. Kami dari kampung, berhijrah ke bandar dengan membawa beberapa helai pakaian, satu bantal bersam-sama tiga orang adik, ayah dan mak yang sudah lama meninggal dunia," katanya. 

Difahamkan, permohonan lesen berniaga Zulkifli mungkin akan diperolehi dalam masa terdekat setelah gerainya viral di media sosial. - The Reporter
Mak, Kenapa Warna Tapai Ni Merah? - Tahukah Anda Pantang Larang Ketika Buat Tapai?

Mak, Kenapa Warna Tapai Ni Merah? - Tahukah Anda Pantang Larang Ketika Buat Tapai?


Berapa ramai di kalangan anda yang tahu pantang larang ketika membuat tapai? Di zaman serba canggih ini, ramai yang tahu makan tetapi tidak begitu tahu mengenai cara membuatnya. 

Berdasarkan perkongsian seorang pengguna Twitter, Aishah Samin, tapai dalam keadaan berwarna merah-merah seperti yang ditunjukkan dalam gambar, bermanka orang yang membuat tapi itu bukan dalam keadaan bersih atau datang bulan. 

"Mak kata, tapai kalau merah-merah seperti ini, maknanya orang yang buat itu bukan dalam keadaan bersih (period). Jadi, siapa-siapa yang datang bulan, tak boleh dekat dengan orang buat tapai, apatah lagi turut serta buat sekali. 

Berdasarkan maklumat di Wikipedia
  1. Tak boleh makan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda berwarna merah ketika membungkus tapai. Sekiranya pantang larang ini dilanggar, tapai akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap. 
  2. Tak boleh makan benda masam ketika membungkus tapai kerana ia akan membuatkan tapai menjadi masam
  3. Bagi wanita yang datang bulan juga tidak boleh membuat tapai kerana rasa yang terhasil daripada pembuat tadi tidak 'jadi' atau masam dan sebagainya. 
  4. Malah, tidak dibenarkan menegur atau buat bising ketika sedang membuat tapai. Ini akan menyebabkan tapai yang dibuat tidak menjadi.
Tapai yang telah siap dibungkus, dimasukkan dalam pasu tempayan yang besar dan ditutup dengan kain. Namun, di zaman ini, ada sesetengah pembuatnya yang letak di bawah katil atau dimana-mana yang mereka suka, selama tiga hari  dan tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan. Tapi yang masuk mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional. 

Dah tahu pantang larang membuat tapai? Jadi, janganlah cari pasal ketika ahli kelaurga terutamanya nenek tengah membuat tapai. Silap haribulan, kuali terbang ke kepala. - The Reporter
6 Bulan Membiarkan Tangan Patah Tanpa Sebarang Rawatan, Demi Menyara Keluarga Tercinta

6 Bulan Membiarkan Tangan Patah Tanpa Sebarang Rawatan, Demi Menyara Keluarga Tercinta


PUTRAJAYA - Seorang pemandu bas, sanggup membuarkan tangan kirinya patah berpanjangan selama enam bulan tanpa sebarang rawatan demi anak dan isterinya. 

Mohana Ramamorthy, 29, terpaksa membiarkan tangannya patah kerana tidak mampu membayar kos rawatan perubatan. 

Dalam keadaan yang sakit itu, Mohana terpaksa bekerja seperti biasa agar dapat memberi anak dan isterinya makan selain membayar sewa rumah. 

Kisah Mohana itu dimuat naik oleh Ami Tanjung yang meminta orang ramai memberi bantuan kepada Mohana di laman Facebook. 

"Kalau ditanya kenapa dia tak pergi mendapatkan rawatan perubatan untuk tangannya, masa itu dia menitiskan air mata sebab rasa tak sanggup nak berbuat apa-apa. Masa ambil gambar pun, dia tengah menitiskan air mata lagi. 

"Dia kerja sebagai driver bas, gaji kecil, menikah 9 tahun dan baru dapat anak seorang yang dilahirkan pada 31 Ogos 2016. Isterinya tengah berpantang.

"Tangannya patah dan semalam dia terjatuh di bahagian yang patah itu. Allahu Rabbi. Kasihanilah beliau," katanya, 

Justeru, Ami menyeru mana-mana pihak yang sudi membantu, bolehlah menghubungi Mohana di talian 018-3652523. Malah Mohana telah memberikan kebenaran kepadanya untuk menviralkan kisahnya kerana dia perlu fikirkan masa depan anaknya sekiranya tangannya sebagai penyara keluarga dibiarkan patah sebarang usaha perubatan. - The Reporter
RM5,100 Telah Habis Dibelanjakan Untuk Perubatan Islam, Namun Penyakit Tak Hilang - Mangsa

RM5,100 Telah Habis Dibelanjakan Untuk Perubatan Islam, Namun Penyakit Tak Hilang - Mangsa


MELAKA - "Rasa-rasanya, kalau banyak duit nak bawa ibu bapa berubat, bolehlah cuba di sini. Hahaha!" demikian kata mangsa yang memuat naik gambar bil perubatan yang didakwanya tidak masuk akal. 

Menurut mangsa, harga yang dikenakan oleh Pusat Perubatan Islam ini tidak masuk akal dan dipercaya menggunakan nama Islam sebagai kepentingan diri, sekali gus memalukan Islam. 

"Dalam keadaan terdesak 11 Oktober 2016, saya telah membawa ibu saya untuk berubat kerana sakit kaki, yang man pihak hospital pun tidak tahu punca kesakitannya. Saya terfikir untuk mencuba kaedah perubatan Islam lalu pergi ke pusat perubatan berkenaan. 

"Sampai ke tempat itu, tampil seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Am, memaklumkan bahawa perubatannya yang diberikan adalah berbayar. Saya pun tak kisahlah sebab nama perubatan Islam. 

"Pada mulanya, saya kena bayar RM300 untuk scan penyakit, katanya. Mula-mula rasa berat, tetapi bila fikir akan penderitaan ibu, saya pun kumpullah duit dengan abang, isteri saya maka dapatkan RM300 lalu dihulur kepada lelaki itu. Katanya, rawatan susulan adalah percuma. 

"Selepas pemeriksaan, dia menyenaraikan penyakit-penyakit yang dihadapi oleh ibu, Banyak juga yang disenaraikan. Kemudian dia tanya, nak berubat tak? Sudah tentulah nak berubat sebab datang jauh-jauh sampai ke Serkam, Melaka.

"Selepas itu dia keluarkan harga caj rawatan penuh mencecah RM32,000 lebih! Saya dah mula panas hati, mahal mak datuk. Selepas itu dia bagi pengurangan, harga turun ke RM22,000 dengan alasan itu adalah caj bagi dia yang akan menanggung risiko merawat ibu saya. 

"Saya dah ajak balik, tetapi ibu saya tak tahan sakit. Dia bagilah rantai tangan dia yang harganya lebih kurang RM4,000 semasa beli. Sebab nak rawat ibu punya pasal, saya pun ikutlah. Dia kata, ini baru suku rawatan, belum sepenuhnya. 

"Selesai itu, dia pun cakaplah macam-macam tentang penyakit itu. Ibu ajak balik tetapi bila saya tanya ibu saya okay atau tidak, ibu hanya mendiamkan diri. Bila berada dalam kereta, ibu kata sakitnya masih ada dan tiada sebarang perubahan. Semakin sakit adalah.


"Sampai ke hari ini, sakit di kaki ibu masih berterusan dan sekarang saya berada di Jabatan Kecemasan dari pagi tadi. Masa nak balik dari rumah Am itu pun dia tanya, tak nak beli air yassin ke untuk dibuat minum dan mandi pada ibu esok pagi. Tahu berapa harga satu botol 1.5 liter air yassin dia? RM40 sebotol! Saya beritahu dia yang saya pun tiada duit, lalu dia berikan secara percuma saja," katanya. 

Mangsa yang tidak didedahkan nama itu berharap, tiada lagi yang akan menjadi mangsa pihak yang menjual agama demi kepentingan diri mereka ini. 

"Jangan ada yang terkena lagi. Duit hilang tetapi penyakit tak hilang.  Dan tadi lelaki itu ada mesej saya suruh buat rawatan susulan, memang tidaklah. 

"Insaflah wahai Am, jangan gunakan agama sebagai mata pencarian rezeki awak dengan mengenakan caj sesuka hati. Allah beri kelebihan untuk membantu orang, bukan dengan cara begini," katanya.


Ekoran viralnya aduan mangsa di laman sosial, difahamkan beberapa pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNKK) telah menyerbu dan menjalankan siasatan. Namun, pusat perubatan berkenaan dengan angkuhnya mengatakan bahawa mereka mempunyai segala dokumen sebagai bukti bagi menjawab segala pertanyaan pegawai KPDNKK. 

"Alhamdulillah, tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap kami," katanya. - The Reporter
Bencinya Aku Pada PTPTN - Penjawat Awam Mendakwa Telah Dianiaya Oleh PTPTN RM4,000

Bencinya Aku Pada PTPTN - Penjawat Awam Mendakwa Telah Dianiaya Oleh PTPTN RM4,000


Aku adalah ex UIAM. Pada tahun pertama pengajian, memang aku memohon pinjaman PTPTN. Tetapi pada tahun kedua pengajian, aku ditawarkan biasiswa Majlis Raja-Raja. Walaupun aku dapat biasiswa itu di tahun kedua pengajian, tetapi biasiswa itu diberi secara backdated bermula dari tahun pertama. Jadi, aku telah membatalkan pinjaman PTPTN dan memulangkan wang yang aku gunakan di tahun pertama pengajian. 

Semenjak masih di UIA lagi, aku rasa macam orang bodoh sebab banyak kali berulang alik ke Wisma Chase Perdana untuk selesaikan perkara ini. Buang duit teksi dan LRT aku saja. 

Sampailah satu masa aku duk berulang alik nak selesaikan masalah ini. Kalau tak silap aku, kakitangan yang incharge kes aku ini namanya Rozita. Dia dah semak semua bayaran aku dan kata masalah ini selesai dan minggu depan dia akan keluarkan surat pelepasan hutang untuk aku. 

Selepas seminggu menunggu, tak nampak apa bayang pun. Kemudian, aku pergi semula ke Wisma Chase Perdana untuk berjumpa dengan Rozita. Malangnya, kakitangan PTPTN maklumkan yang Rozita telah berpindah ke jabatan yang lain. 

Lalu aku menceritakan kes yang aku hadapi. Boleh pula kakitangan di situ kata mereka tak tahu apa-apa sebab yang uruskan kes itu adalah Rozita. Memang bangang statement ini!

Selepas itu, banyak kali aku pergi ke pejabat PTPTN itu, tetapi tiada hasil pun. Yang paling menyakitkan hati ialah, statement hutang dari PTPTN yang merapu-rapu aku dapat. Jumlah hutang yang entah apa-apa. Ada juga statement yang aku dapat, suruh aku bayar hutang sebab aku gagal dalam pengajian, sedangkan aku pemegang biasiswa dan masih belajar di UIA. Bodohnya sistem PTPTN. 

Aku dah malas nak fikir sehinggalah pejabat PTPTN bertukar ke KL Central pun, aku pergi lagi untuk selesaikan masalah ini. Tetapi amat mengecewakan bila kakitangannya hanya mampu mengambil nombor telefon aku dan kata akan buat semakan serta menghubungi aku selepas itu. Haram jadah tak ada langsung, senyap begitu sahaja. 

Aku dah memang menyampah dengan PTPTN ini. Akhirnya aku biarkan saja sebab dah malas nak fikir. 

Yang paling aku sakit hati, yang terkini pada Oktober tahun lepas, nama aku dipanggil untuk taklimat pemotongan gaji bagi penjawat awam. Masa taklimat itu, memang aku betul-betul marah dan aku ceritakan perkara sebenar. Pegawai PTPTN dari Kuantan itu siap berjanji pada aku di depan 200 orang untuk selesaikan masalah aku dalam masa dua minggu. 

"Wahai ENcik Zulzamri! Sedap manis mulut kau berjanji dua minggu tetapi ini sudah setahun pun tak selesai lagi. Jangan pandai janji je!"

Lepas pada itu, aku ada pergi berjumpa dengan pengurus PTPTN Terengganu. Selepas berjumpa dengannya, baru aku rasa ada pergerakan sikit kes aku ini dan tindakan dari pihak ibu pejabat. 

Tetapi ibu pejabat PTPTN pun bangang. Ada ke telefon aku kata, kalau aku nak clear nama, aku kena bayar RM3,200 lebih. Aku tanya kenapa aku kena bayar sedangkan aku tak ambil duit itu? Dia suruh aku semak sendiri dengan bendahari UIA. 

Satu hari, aku rasa tertekan sangat dengan PTPTN ini dan aku telefon mereka dan mengamuk macam orang gila. Aku kata, kenapa aku yang kena buat kerja PTPTN, kenapa aku yang kena cari bendahari UIA sedangkan ini kecuaian pihak PTPTN. Selepas aku mengamuk, barulah mereka kata nak selesaikan kes ini dan akan buat semakan. Kalau aku tak mengamuk, memang mereka senyap begitu saja. 

Sekarang, PTPTN sedang buat semakan dengan bendahari UIA berhubung kes ini. Kakitangan yang inchage kata rekod lejar pelajar aku di UIA memang clear dan tak berhutang apa-apa pun dengan PTPTN. Masalahnya, ada rekod di PTPTN sebanyak lebih kurang RM3,555 yang dibayar ke bendahari UIA. Bayaran masuk dua kali sedangkan bendahari UIA kata mustahil masuk dua kali. 

Paling sakit hati aku dengar dari PTPTN yang mereka tak boleh clearkan nama aku dari sistem PTPTN selagi bendahari UIA tak pulangkan duit itu. Sedangkan sudah terbukit duit itu tiada kaitan dengan aku. Kalau kau nak sangat duit itu, minta sajalah dengan bendahari UIA dan tolong clearkan nama aku!

Aku yakin masalah ini berlaku bukan di atas kecuaian bendahari UIA tetapi sistem rekod PTPTN yang caca merba sebenarnya. Tolonglah selesaikan kes aku ini. Jangan aniaya orang begini. Aku sepatutnya dari dulu lagi tak payah fikir tentang PTPTN sebab dah dapat biasiswa. Tetapi sampai sekarang masih belum selesai. 

Duit RM3,555 itu pun sudah menjadi RM4,000 lebih sebab kos pentadbiran. Tolonglah jangan aniaya orang seperti ini. Aku dah cukup tertekan! Kalau setakat RM300, walaupun aku tak ambil duit itu, aku boleh saja nak derma pada PTPTN tetapi aku bukan sekaya Dato Vida. Aku hanyalah penjawat awam. 

Tolonglah wahai PTPTN, jangan aniaya aku. Kalau aku benar-benar berhutang, dah lama aku bayar duit itu. - M (IIUM Confessions | The Reporter